Perkara paling utama perlu diberikan perhatian setelah berminat terhadap satu-satu hartanah adalah mendapatkan salinan hakmilik hartanah tersebut. Hakmilik memberikan maklumat segala perkara yang berkaitan dengan hartanah seperti Tajuk (status, pegangan, rekod), Info Teknikal (lokasi, No lot, saiz, kategori), Syarat Nyata, Sekatan Kepentingan serta Rekod Ketuanpunyaan. Kesemua kelima-lima sifat hakmilik ini perlu difahami sebaik mungkin sebelum meneruskan langkah seterusnya dalam proses jualbeli.
A. Tajuk Hakmilik
Tajuk hakmilik terbahagi kepada dua iaitu samada tercatat sebagai Hakmilik Sementara (Qualified Title) ataupun Hakmilik Tetap (Final Title). Hakmilik Sementara Negeri(11A)/Mukim(11B) adalah hakmilik dikeluarkan pejabat pendaftar/pejabat tanah sebelum kerja ukurhalus dibuat dengan kata lain batu sempadan belum ditanda namun hakmilik sudah dikeluarkan manakala Hakmilik Tetap Negeri(5B/5C)/Mukim(5D/5E) pula adalah hakmilik dikeluarkan pejabat pendaftar/pejabat tanah selepas kerja ukurhalus dibuat dengan kata lain batu sempadan telah ditanda barulah hakmilik dikeluarkan.
Tajuk hakmilik juga terbahagi kepada jenis pegangan samada Hakmilik Kekal/Geran (Freehold) ataupun Hakmilik Bertempoh/Pajakan (Leasehold). Dengan kata lain Geran adalah tanah yang diberi milik selama-lamanya manakala Pajakan adalah tanah milik kerajaan negeri dan diberi pajak kepada pemilik berdaftar untuk tempoh masa tertentu.
Rekod hakmilik disimpan yang mana terbahagi kepada dua pihak samada melalui Pentadbir Tanah/Pejabat Tanah atau Pendaftar Negeri/Pejabat Tanah & Galian (PTG). Bagi hakmilik Geran(5B) dan Pajakan Negeri(5C),
Rekod adalah dalam jagaan Pendaftar Negeri@Pejabat Tanah & Galian (PTG) manakala Geran Mukim(5D) dan Pajakan Mukim(5E),
Rekod adalah dalam jagaan Pentadbir Tanah @Pejabat Tanah.
B. Info Teknikal
Kebiasaannya lokasi dibahagikan kepada Negeri, Daerah dan Bandar/Pekan/Mukim. Ada sebahagian tanah, semasa hakmilik sementara ia gunakan Mukim, tetapi apabila bertukar kepada hakmilik tetap dah menjadi Bandar. Nombor spesifik bagi tanah yang dinyatakan dalam hakmilik. Nombor hakmilik, lokasi dan nombor lot adalah penting sekiranya untuk membuat urusan carian ‘land search’ di Pejabat Tanah Galian atau Pejabat Tanah Daerah. Saiz tanah kebiasaannya akan ditentukan dalam ukuran meter persegi (sqm) khususnya bagi tanah bangunan. Bagi tanah pertanian kebiasaannya saiz ditentukan dalam ukuran ekar(ac) atau hektar(ha). Kategori kegunaan tanah hanya ada 3 jenis iaitu pertanian, bangunan dan perusahaan/perindustrian. Sekiranya tanah lot kediaman ia termasuk dalam kategori bangunan.
C. Syarat Nyata
Syarat Nyata adalah suatu arahan atau larangan yang dikenakan dan dinyatakan didalam hakmilik bagi maksud mengawal penggunaannya. Semua tanah tanpa mengira bila ianya diberimilik adalah tertakluk kepada apa-apa Syarat Nyata yang tercatat di dalam dokumen hakmiliknya. Perlanggaran Syarat Nyata boleh mengakibatkan tanah boleh dilucuthak (dirampas). Sebagai contoh:
1. Tanah yang diberi hakmilik hendaklah digunakan untuk sebuah rumah kediaman sahaja”.
2. Bangunan yang didirikan di atas tanah ini hendaklah digunakan untuk perindustrian sahaja.
3. Tanah yang diberi hakmilik ini tidak boleh ditanam dengan, atau dibiarkan tumbuh pokok-pokok getah”.
D. Sekatan Kepentingan
Merupakan batasan atau sekatan ke atas hak-hak tuan tanah bertujuan untuk mengawal kepentingan tanah tersebut. Pihak Berkuasa Negeri (PBN) ‘State Authority’ mempunyai kuasa untuk mengawal harta tanah. Jika sesuatu tanah memiliki sekatan kepentingan, ia akan dinyatakan di dalam hakmilik tanah tersebut. Sebagai contoh:
1. Tanah yang diberi milik ini tidak boleh dipindah hakmilik digadaikan atau dipajakkan.
2. Tanah ini tidak boleh dipindah hakmilik atau dipajak kecuali dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. Sekatan kepentingan ini dikecualikan kepada orang Melayu.
3. Tanah yang terkandung di dalam hakmilik ini tidak boleh dijual atau dipindah milik dengan apa cara sekali pun kepada Bukan Warganegara/Syarikat Asing tanpa persetujuan Pihak Berkuasa Negeri.
E. Rekod Ketuanpunyaan
Memaparkan siapakah pemilik berdaftar ‘registered propriertor’ bagi harta tanah. Selain daripada nama pemilik, selepas nama pemilik dinyatakan pecahan bahagian. Sekiranya seorang sahaja pemilik, nama 1 orang dan 1/1 bahagian.